Pengenalan subjek KSSR di bawah subjek Kemahiran Hidup untuk murid tahap 2 dalam bidang perkebunan dan penternakan haiwan, adalah dlihat satu peluang dalam meneroka dan mencuba sesuatu yang baru pada diri sendiri amnya dan kepada murid istimewa pendidikan khas.
Melalui modul yang diterima, peluang dalam melaksanakan projek perkebunan dan penternakan haiwan dilihat perlu bagi memahamkan murid situasi sebenar slibus matapelajaran ini. Beberapa cadangan awal pelaksanaan projek telah difikirkan berdasarkan kesesuaian tempat yang ada serta tenaga kerja yang terlibat. Perbincangan tidak rasmi dengan guru yang lain, akhirnya menyebabkan beberapa projek dipilih untuk dilaksanakan.
Tidak mudah rupanya untuk melakukan projek yang berkaitan dengan perkebunan dan penternakan ini. Untuk mengharapkan projek dapat dibuat berdasarkan jam waktu mengajar di sekolah adalah sangat tidak mencukupi. Akhirnya waktu lain terpaksa di gunakan pada hari minggu, cuti umum dan cuti sekolah dengan melibatkan murid-murid dan warga PPKI yang lain.
Pada awalnya projek penternakan ayam dan penanaman sayur dipilih memadangkan faktor kawasan yang terhad. Namun atas sebab bau, projek ayam digantikan dengan ikan keli yang dilihat lebih bersih dan mesra alam. Projek penanaman sayur pula berjalan seperti dirancang sehingga puas dapat merasa hasil sayur seperti kangkung, terung bulat, bendi, peria, timun, petola dan cili.
Projek pondok cendawan pula adalah hasil dari sisa kayu dan pintu yang dirobohkan dari dewan utama sekolah. Projek Markisa pula bermula apabila anak pokok markisa diberi sumbangan oleh bekas anak murid yang telah melanjutkan sekolah di sekolah menengah. Lantaran dari kesuburan dan keadaan pokok markisa yang menjalar cantik, sesuatu perlu dilakukan agar pokok markisa ini dapat menjadi lanskap yang cantik pada tapak kebun PPKI SK Bagan Serai. Oleh itu projek pergola dibuat agar menjadi serampang 2 mata kepada kebun supaya menyokong pokok markisa menjalar dan berbuah dengan baik serta menjadi lanskap kepada kebun tersebut.
Dalam sudut yang berbeza pula, projek yang pelbagai ini telah berjaya menarik minat murid untuk terlibat sama serta memberikan ilmu pengetahuan yang berguna kepada mereka. Terima kasih tak terhingga diucapkan kepada seluruh warga PPKI SK Bagan Serai dan pihak sekolah yang sama-sama berganding bahu bagi menjayakan semua projek tersebut.